Sejarah 'Zaman Konfrontasi' Malaysia-Indonesia


Rancangan penubuhan Persekutuan Malaysia diumumkan pada bulan Mei tahun 1961, dalam usaha menggabungkan Malaya, Singapura, North Borneo (Sabah), Sarawak dan Brunei ke dalam satu gabungan.


Konfrontasi Indonesia bermula selepas pemberontak di Brunei melakukan penentangan terhadap idea penubuhan Persekutuan Malaysia dalam insiden yang dilabelkan sebagai 'pemberontakan Brunei Disember 1962.' Pemberontakan di Brunei ketika itu didalangi pihak daripada Tentera Nasional Kalimantan Utara atau TNKU, sebuah pasukan militan yang didanai kerajaan Indonesia dalam hasrat mahu mewujudkan apa yang dikenali sebagai Persekutuan Borneo Utara.
Persekutuan Borneo Utara adalah rancangan untuk menggabungkan tiga negara (ketika itu) iaitu Sarawak, Borneo Utara dan juga Brunei dalam satu gabungan. Walaupun demikian, Sultan Brunei sendiri lebih cenderung untuk menyertai Persekutuan Malaysia berbanding Persekutuan Borneo Utara, selepas beberapa siri perbincangan dilakukan antara kesemua pihak.

Kenapa konfrontasi Indonesia berlaku?



Bagi negara Indonesia, penubuhan sebuah Persekutuan Malaysia yang menggabungkan kesemua pihak akan menjadi ancaman kepada mereka. Ini kerana kerajaan Indonesia percaya penubuhan Malaysia adalah satu cara Britain untuk meneruskan sistem kolonial mereka di Asia Tenggara.
Selain itu, Indonesia juga tidak mahu wujud sebarang bentuk markas tentera Britain di benua ini seandainya Malaysia ditubuhkan, kerana dikhuatiri itu akan membolehkan Britain terus mengawal pentadbiran kerajaan persekutuan Malaysia.
Selepas pemberontakan Brunei ditumpaskan askar-askar yang dibawa British daripada Singapura, Indonesia mengumumkan sokongan mereka kepada pemberontakan serta menyatakan bantahan mereka terhadap rancangan menubuhkan Malaysia.
Pada 20 Januari 1963, Menteri Luar Indonesia mengumumkan polisi konfrontasi terhadap Malaya daripada aspek ekonomi dan juga hubungan luar. Perbincangan diwujudkan untuk mencari jalan keluar, namun tentera Indonesia mula menceroboh masuk ke dalam Sabah dan Sarawak bagi melakukan operasi-operasi sabotaj dan serangan.

Ganyang Malaysia!

Pada bulan Mei 1963, dalam usaha mahu meredakan ketegangan, Presiden Sukarno dan Tunku Abdul Rahman bertemu. Kerajaan Indonesia bersetuju untuk berdamai sekiranya Malaya mengadakan pungutan suara untuk semua pihak menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap penubuhan Malaysia, terutamanya warga Borneo Utara.
Walau bagaimanapun, kerajaan Malaya tidak memenuhi hasil perbincangan itu dan Tunku Abdul Rahman menandatangani perjanjian di London pada 9 Julai 1963, menetapkan penubuhan Persekutuan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Ini mengakibatkan kemarahan Indonesia terhadap Malaya semakin menjadi-jadi sehinggakan siri rundingan terpaksa dilakukan di Filipina.
2 hari sebelum tarikh 31 Ogos 1963, kerajaan Malaya mengumumkan yang Malaysia akan ditubuhkan pada 16 September 1963, sekali lagi melanggar hasil perbincangan dua hala di antara Indonesia dan Malaya. Ini menyebabkan Indonesia menganggap Malaya sengaja melanggar perjanjian yang telah dipersetujui kedua-dua pihak.
Persekutuan Malaysia selamat ditubuhkan pada tarikh tersebut tanpa penyertaan Brunei, menyebabkan reaksi Indonesia lebih keras kali ini. Pada 25 September 1963, Presiden Sukarno mengumumkan kempen 'ganyang Malaysia!' sebagai bantahan kepada penubuhan negara kita.

Menyerang balas pencerobohan


Berikutan pengumuman keras itu, beberapa siri serangan tentera Sabah dan Sarawak dilakukan oleh tentera Indonesia. Pada tahun 1964, tentera Indonesia mula menceroboh masuk ke Singapura dan juga Semenanjung Malaysia dalam usaha untuk mencetuskan ketegangan.
Kerajaan Malaysia yang baru ditubuhkan ketika itu terpaksa meminta bantuan tambahan tentera British dan tentera negara Komanwel untuk mempertahankan Malaysia daripada serangan. Bekerjasama dengan askar Melayu, pertempuran yang berlaku berjaya mendesak tentera Indonesia berundur buat sementara.
Pada bulan Jun dan Julai 1964, Indonesia sekali lagi cuba mensabotaj laluan hubungan di antara Johor dan Singapura namun serangan itu berjaya dipatahkan. Sebagai serangan balas, bermula tahun 1965 Britain melalui unit propaganda mereka mula menggunakan serangan psikologi ke atas Indonesia, memburukkan Parti Komunis Indonesia dan Presiden Sukarno agar masyarakat Indonesia bangun menentang mereka. Ini taktik yang sama seperti taktik yang digunakan semasa zaman darurat Malaya.
Kaedah ini berhasil berikutan propaganda yang berlaku berjaya menimbulkan ketegangan di kalangan pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan Indonesia, dengan pengaruh Sukarno yang sangat bergantung dengan sokongan Parti Komunis Indonesia mula dipersoalkan. Ini menghasilkan siri pemberontakan dengan kemuncaknya berlaku gerakan 30 September yang membunuh ramai pemimpin kanan Sukarno serta cuba mengambil alih kuasa daripada Presiden Sukarno.

Tamatnya konfrontasi


Pemberontakan ganas itu menyebabkan tentera Indonesia mula bertindak balas diketuai oleh Mejar Jeneral Suharto.
Beberapa siri keganasan berlaku di Indonesia sebelum Parti Komunis Indonesia mula dilihat sebagai musuh nombor satu Indonesia, berikutan beberapa bukti pembunuhan yang telah mereka lakukan. Berdepan tekanan, Presiden Sukarno bersetuju untuk melepaskan kuasa kepada Mejar Jeneral Suharto dalam arahan yang dikenali sebagai 'supersemar'.
Suharto bersetuju untuk menamatkan konfrontasi melalui perjanjian keamanan yang ditandatangani pada 11 Ogos 1966 di Kuala Lumpur, memulihkan semula hubungan di antara Indonesia dengan Malaysia dan Singapura, yang ketika itu sudah pun keluar daripada Malaysia.
Sukarno membantah sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Indonesia mahu menamatkan konfrontasi dengan Persekutuan Malaysia.

Comments

  1. Kalau boleh nyatakan sekali sumber yang menjadi rujukan saudara.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular Posts