Operation Paperclip: Usaha Amerika Syarikat Merekrut Saintis Nazi Jerman Selepas Perang Dunia Kedua

Peristiwa pengoboman Hiroshima dan Nagasaki merupakan antara peristiwa penting yang menandakan berakhirnya Perang Dunia Kedua. Ketika itu, tidak ramai pihak yang menjangka sudah wujud senjata sehebat itu yang mampu menyebabkan kemusnahan harta benda yang dahsyat dan membunuh ratusan ribu nyawa manusia sehingga menyebabkan pihak Jepun terpaksa menerima Deklarasi Potsdam yang menyatakan kekalahan mereka dalam peperangan tersebut.
Walau bagaimanapun, senjata bom nuklear yang digunakan oleh pihak Amerika Syarikat pada ketika itu bukanlah satu-satunya senjata paling hebat pada era zaman Perang Dunia Kedua. Malah, pihak Nazi Jerman sebenarnya telah mencipta pelbagai teknologi senjata baru antaranya senjata biologi dan agen saraf yang boleh menyebabkan penyakit berbahaya.
Malah, para Saintis Jerman juga sebenarnya telah mencipta roket V-1 dan V-2, roket pengebom jarak jauh yang paling hebat ketika itu. Oleh itu, apabila pihak Nazi Jerman telah kalah dalam peperangan ini, maka pihak Amerika Syarikat dan Soviet Union berlumba-lumba ingin mendapatkan kepakaran teknologi daripada saintis Jerman ini.

 

Operation Paperclip


Sebaik sahaja Jerman mengaku kalah, pihak Amerika Syarikat dan Soviet Union mula menghantar pasukan pakar mereka ke serata kawasan Eropah yang sebelum itu dikuasai Jerman bagi mencari teknologi-teknologi yang telah dibangunkan ini. Malah, askar Amerika Syarikat telah membuat penemuan yang sangat mengejutkan mengenai senjata-senjata yang telah dibangunkan oleh pihak Nazi Jerman, sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka.
Kisah mengenai operasi sulit ini telah ditulis oleh seorang pengkaji sejarah, Annie Jacobsen dalam bukunya yang bertajuk Operation Paperclip: The Secret Intelligence Program That Brought Nazi Scientists To America.
Dalam buku tersebut, beliau menyatakan askar Amerika Syarikat sangat terkejut apabila menjumpai sebuah makmal rahsia yang membangunkan senjata agen saraf. Mereka tidak sangka bahawa pihak Nazi telah membangunkan sejenis senjata sebegitu yang mampu mencipta wabak penyakit berjangkit yang dahsyat dan mampu membunuh ramai manusia.

Konflik moral dan etika operasi sulit Operation Paperclip


Operation Paperclip bukanlah operasi biasa tetapi ianya operasi yang sangat sulit dan ianya adalah bersebab. Malah, hanya beberapa pihak tertentu sahaja dalam kalangan pemerintah dan askar Amerika Syarikat yang tahu akannya. Sesetengah pihak sudah menjangkakan bahawa operasi sebegini pastinya tidak disenangi oleh segelintir pihak kerana ianya seolah-olah memberi peluang kedua kepada para saintis ini atas jenayah perang yang telah mereka lakukan.
Sebagai contoh, Wernher von Braun iaitu saintis yang mengetuai penciptaan roket V-2 pernah menjadikan ramai tahanan perang yang ditempatkan di kem-kem tahanan sebagai bahan uji kaji beliau. Oleh itu, membawa beliau pulang ke Amerika Syarikat dalam Operation Paperclip ini semestinya menimbukan konflik moral dan tentangan daripada rakyat Amerika Syarikat sendiri, terutamanya kepada keluarga askar Amerika Syarikat yang terkorban di tangan askar Jerman.
Kerana operasi ini begitu sulit, tidak banyak perkara yang diperkatakan mengenainya. Walau pada awalnya hanya 88 orang saintis yang dibawa pulang ke Amerika Syarikat, penemuan satu dokumen sulit yang diberi nama Osenberg List menunjukkan terdapat 1600 orang saintis dan jurutera Nazi yang telah dibawa masuk ke Amerika Syarikat dalam operasi ini. Ahli keluarga terdekat saintis dan jurutera ini juga dibawa bersama ke Amerika Syarikat bagi memastikan mereka komited memberikan kerjasama kepada Amerika Syarikat.

Penghapusan rekod jenayah perang

Operasi sulit in dijalankan secara rahsia oleh Joint Intelligence Objectives Agency (JIOA), sebuah organisasi baru yang ditubuhkan. JIOA ditugaskan untuk mengambil semua teknologi dan kepakaran Jerman bagi membangunkan teknologi ketenteraan Amerika Syarikat seperti roket, senjata biologi dan senjata kimia. Peranan JIOA penting bagi memastikan teknologi ini tidak diperolehi oleh pihak Soviet.
Menyedari akan konflik yang mungkin timbul kerana mengambil para saintis yang juga dianggap penjenayah perang ini, President Harry Truman yang telah bersetuju melancarkan operasi ini telah mengarahkan agar mana-mana saintis atau jurutera yang mempunyai rekod jenayah perang tidak dibawa masuk bagi menghormati keluarga askar Amerika Syarikat yang terkorban dalam perang.
Walaupun begitu, pegawai-pegawai dari JIOA dan Office of Strategic Services (OSS) telah bertindak memadam dan membersihkan bukti dan rekod jenayah perang para saintis dan jurutera ini kerana beranggapan bahawa kepakaran mereka sangat penting bagi memastikan Amerika Syarikat boleh menyayingi pihak musuh dalam teknologi peperangan.
Ramai pengkaji sejarah beranggapan bahawa sejarah dunia pasti berubah sekiranya teknologi ketenteraan Jerman ini jatuh ke tangan Soviet Union. Sekiranya teknologi ini jatuh ke Soviet Union, Amerika Syarikat mungkin kalah kepada Soviet Union pada Perang Dingin yang terjadi selepas selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua. Malah, Amerika Syarikat juga mungkin sebuah negara besar seperti sekarang sekiranya teknologi ketenteraan Jerman ini jatuh ke tangan pihak Soviet Union.

Kredit:
  1. History.com
  2. Smithsonian Mag
  3. WikiPedia

tags :

Comments

Popular Posts