Perbezaan Revolusi Che Guevara dan Mao Zedong

Mao Zedong

Che Guevara 

Ada orang pakai ala-ala Che Guevara bajet revolusioner. Bila tanya apa revolusi yang dibawa oleh Che, tak boleh jawab. Apa pula perbezaan revolusi Che dan Mao? Dua-dua gerila bukan? Lari masuk hutan buat ambush kemudian lari. Itulah pemahaman kita tentang gerila.
Bagi kita gerila itu pakaiannya compang-camping, bawa senjata buatan sendiri seperti gerila Parti Komunis Malaya (PKM) yang sentiasa mengelak sari bertempur dengan pasukan keselamatan. Realitinya perang gerila juga boleh dikategorikan sebagai “high intensity conflict” dan “low intensity conflict”.

Perang gerila antara LTTE di Sri Lanka tidak boleh disamakan dengan perang gerila di Malaysia. Pada tahun 1996 LTTE telah melancarkan serangan gelombang manusia 2,000 orang ke atas sebuah garrison tentera di Mullaitivu dan menawannya dalam masa seminggu, membunuh 1,400 anggota tentera Sri Lanka.

Untuk melihat magnitud perang gerila pimpinan Mao pula, sebagai contoh pada bulan Ogos 1940 Kempen Seratus Rejimen dilancarkan dengan 400,000 anggota menyerang tentera Jepun di lima wilayah China secara serentak yang berjaya membunuh 20,000 tentera Jepun dan memusnahkan rangkaian landasan keretapi (nadi lojistik antara bandar tentera Jepun) dan juga kerosakan ke atas sumber ekonomi dari lombong-lombong arang batu.
Che Guevara mula terlibat dengan revolusi di Cuba apabila beliau berkenalan dengan Fidel Castro yang hidup dalam buangan di Mexico. Che merupakan seorang pemuda pintar telah menamatkan pengajian perubatan dari Universiti Buenos Aires.

Beliau yang banyak mengembara ke Amerika Selatan dan Amerika Tengah telah melihat sendiri kemiskinan rakyat tempatan dan menjadikannya anti-kapitalis. Beliau mengikuti pasukan gerila seramai 82 orang pimpinan Fidel Castro belayar kembali ke Cuba bertujauan memulakan revolusi di sana untuk menjatuhkan Rejim Batista pada bulan Disember tahun 1956.

Kedatangan mereka telah dihidu oleh pasukan tentera dan disambut dengan pertempuran semasa pendaratan. Hanya 19 orang gerila berjaya meloloskan diri dan bersembunyi di kawasan pergunungan Sierra Maestra. Di sana mereka berjaya menyakinkan penduduk tempatan untuk menyertai perjuangan mereka.

Apabila pasukan ini berkembang sehingga 200 orang, mereka mula melancarkan serangan ke atas pos-pos kecil tentera, sehinggalah pasukan kecil ini dengan sokongan padu rakyat tempatan serata Cuba dapat menumbangkan Rejim Batista yang mempunyai 30,000 anggota polis dan tentera dalam pertempuran terakhir di Santa Clara pada tahun 1958.

Che kemudian bercadang untuk mengeksport model revolusinya ke negara-negara luar. Pada bulan April 1965 satu pasukan ekspedisionari seramai 12 orang diketuai oleh Che telah tiba di Kongo. Disana mereka berkerjasama dengan ketua gerila Laurent Desire Kabila yang menyokong Patrice Lumumba.

Bagaimanapun pergerakan mereka sentiasa dihalang oleh Tentera Nasional Kongo dibawah pimpinan Mike Hoare (bekas tentera upahan yang membentuk pasukan mercenary 5 Commando). Selepas mengalami kegagalan demi kegagalan dalam tempoh tujuh bulan, Che yang mengidap penyakit disentri dan asthma terpaksa meninggalkan Kongo dan kembali ke Cuba. Komen beliau “elemen kemanusiaan telah gagal dalam revolusi ini. Mereka tiada semangat untuk berjuang. Ketua-ketua pemberontak semuanya korup… ringkasnya tiada apa yang dapat dilakukan.”

“Ini adalah satu kisah kegagalan” sambungnya lagi. Che sebenarnya ingin memperkenalkan teori foco di luar Cuba. Teori ini akan membawa sekumpulan kecil golongan proletariat (golongan pekerja) yang mempunyai kesedaran untuk menubuhkan satu organisasi paramilitari yang bertindak sebagai perintis atau “jump-start” kepada revolusi yang akan menarik lebih ramai golongan ini untuk menyertai mereka. Bertentangan dengan teori Mao Zedong, teori foco tidak perlu menunggu sokongan popular kerana Che percaya sokongan popular dari massa akan diraih semasa revolusi berjalan.

Sekarang kita lihat pula strategi pakcik Mao. Jika Mao adalah seorang strategist, kita boleh katakan Che adalah seorang pakar taktikal. Mereka berada dalam dua magnitud revolusi yang berbeza. Che dan Castro memimpin pasukan yang tidak melebihi 500 gerila tetapi mendapat sokongan pada rakyat, manakala Mao pula memimpin satu pasukan tentera berkekuatan 500,000 anggota. Pakcik Mao telah membahagikan perang gerila kepada tiga fasa:

Fasa 1 – Gerakan Subversif.

 Ketika ini organisasi gerila masih lagi pada peringkat penubuhan dan sangat lemah. Mereka menubuhkan pengkalan-pengkalan jauh dari penduduk dan pasukan keselamatan. Kader-kader baru menjalani latihan sehinggalah mereka mampu keluar untuk menarik lebih ramai lagi sukarelawan dan mendidik mereka akan konsep revolusi yang dibawa oleh mereka.

Fasa 2 – Insurgensi Aktif.

Sebilangan besar sokongan dari massa atau populasi telah diperolehi. Mereka bergerak aktif di kampung-kampung, pekan-pekan dan seterusnya ke bandar-bandar. Ketika ini serangan dan sabotaj dilakukan termasuklah penculikan atau pembunuhan orang-orang ternama. Mereka akan berkembang dari satu bandar ke satu bandar lain. PKM telah terbantut disini semasa zaman Darurat. Mereka gagal melebarkan sayap kerana keberkesanan Rancangan Briggs yang mengasingkan dan melindungi populasi dari ancaman dan pengaruh PKM.

Fasa 3 – Pertempuran Akhir.

Ini adalah fasa penentuan samada revolusi berjaya atau gagal. Ketika ini kekuatan pasukan gerila terdiri dari pasukan-pasukan bertaraf batalion atau rejimen dan mampu untuk bertempur secara konvensional dengan pasukan musuh atau kerajaan.

Che ingin mengambil kesempatan atas penglibatan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam. Beliau bercadang untuk mengeksport revolusinya ke Amerika Selatan dan Tengah dengan mencipta lebih banyak “Vietnam” di sana. Beliau memilih Bolivia sebagai pusat gempa kepada revolusinya yang bertujuan menghapuskan kapitalis.

Maka pada tahun 1967 beliau berangkat ke Bolivia. Che membentuk pasukan Tentera Pembebasan Nasional Bolivia seramai 50 orang. Pada mulanya mereka mencapai banyak kejayaan dalam pertempuran-pertempuran kecil tetapi pada 8 Oktober 1967 dua batalion Pasukan Khas Bolivia yang dilatih oleh CIA berkekuatan 1,800 anggota telah mengepung kedudukan pasukan Che Guevara. Che tercedera didalam pertempuran tersebut dan ditawan. Beliau kemudiannya ditembak mati pada keesokannya atas arahan Presiden Bolivia, Rene Barrientos.

KESIMPULAN

Setiap teori tidak semestinya boleh berjaya dilaksanakan tanpa memahami dengan lengkap situasi sesebuah kawasan atau negara dari segi ekonomi, sosio-budaya, politik dan sebagainya. Perang gerila yang dilancarkan di setiap negara seperti Algeria, Vietnam, Mozambique, Sri Lanka atau Chechnya juga mempunyai keunikannya sendiri dengan ciri-ciri yang berbeza.


Mao yang berpengalaman luas menitik beratkan pengetahuan tentang revolusi dan moral yang kukuh kepada pasukan selain dari kepimpinan yang baik. Teori foco oleh Che dilihat lebih sebagai satu jalan pintas tetapi mungkin sesuai untuk negara yang lebih kecil atau pasukan keselamatan yang kurang berupaya. Bagaimanapun, kedua-duanya bersetuju perang gerila akan memakan masa yang sangat lama dan dimulakan secara kecil.

Sumber dari © 2019 The Patriots.

Comments

Popular Posts